Sunday, April 06, 2014

Anak Bangsat- Kelar Emak Hingga Mati

Anak Mangsa berumur 18 Tahun
MIRI 5 April - Gara-gara tidak menunaikan permintaannya untuk membeli sebuah telefon pintar, seorang anak sanggup menikam dan mengelar leher ibunya sendiri hingga mati.

Mayat ibu malang itu, Mariefe Wong, 42, yang merupakan warganegara Filipina ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam keretanya oleh beberapa pelajar di hadapan Kompleks Tenis, Jalan Sukan di sini, kira-kira 2.30 petang ini.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Gan Tian Kee berkata, mangsa dipercayai dikelar dan ditikam selepas bertengkar dengan suspek di dalam kereta tersebut.

Beliau berkata, pisau yang dipercayai digunakan suspek turut ditemui di dalam kereta jenis Atos itu.

“Setakat ini motif kejadian masih dalam siasatan. Namun kita tidak menolak kemungkinan suspek berang selepas ibunya enggan memenuhi permintaan untuk memiliki telefon pintar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.
Mariefe Wong ditemui mati dalam keretanya dengan berlumuran darah.

Tian Kee menambah, kes itu berjaya diselesaikan dalam tempoh sejam apabila tertangkapnya anak mangsa (18 tahun) yang turut berada di lokasi kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Miri untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Sementara itu, seorang saksi kejadian, Ericson Maheah, 17, memberitahu, dia melihat kereta mangsa yang diletakkan di hadapan tempat latihannya sejak pukul 8 pagi.

Ujarnya, ketika itu dia tidak mempedulikan mangsa yang dilihat sedang tidur kerana pada hujung minggu Kompleks Tenis sering dikunjungi orang ramai.

“Selepas tamat latihan tenis, saya dapati mangsa masih di dalam kereta dalam keadaan sama. Kerana curiga saya terus menghampirinya dan terkejut melihat mangsa berlumuran darah," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ericson berkata, dia terus memberitahu rakan yang lain sebelum menghubungi polis.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140406/je_01/Anak-tikam-kelar-leher-ibu#ixzz2y4Z7Gqrw
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Blog Archive