Saturday, June 28, 2014

MH370: Misi Kubur Tidak Bernisan

Pihak pencari masih percaya, bahawa pesawat malang MH370 yang membawa 239 penumpang termasuk kru yang hilang pada 8 mac 2014 selepas berlepas 12.41 pagi laluan Kuala Lumpur Beijing telah berakhir di Lautan Hindi.

Satu-satunya fakta yang diguna adalah maklumat satelite yang dianalisa, yang menggunakan Doppler Effect bahawa pesawat malang itu menunju ke Lautan Hindi sebelum hilang.

Tiada siapa yang boleh memberi maklumat termasuk analisa teknologi canggih, mengapa pesawat itu terbang bertolak belakang daripada laluan asal. Apa yang ada, suatu persepsi, bahawa kehilangan pesawat itu merupakan satu misi kubur tidak bernisan.

Melihat pergerakan pesawat itu semasa berpatah balik, terbang daripada ketinggian normal 35,000 kaki ke atas permukaan laut lalu bertukar ke paras 45,000 kaki merupakan satu tindakan yang disengajakan. Pada ketinggian 45,000 kaki, jika sesiapa yang tidak sempat memasang corong oksigen maka akan pingsan serta merta, dan jika sempat seseorang itu hanya boleh bertahan selama maksima 15 minit, sebelum pingsan. Pesawat itu dikatakan berada pada ketinggian 45,000 kaki selama 23 minit, ertinya sesiapa sahaja dalam pesawat itu pengsan.

Laporan terkini daripada Australia, bahawa pesawat itu menunju Lautan Hindi mengunakan autopilot bersama penumpang yang sudah pengsan sebelum pesawat kehabisan minyak, lalu terjunam ke dasar laut; menguatkan anggapan bahawa pesawat yang dikemudi Kapten Zaharie Ahmad Shah itu bermisikan kubur tanpa nisan.

Wednesday, June 25, 2014

Apa Kah Malaysia Bakal Hancur?

Banyak isu yang sebelumnya jarang dibincang; seperti isu islamic state, secular state, perkara-perkara pembentukan negara; isu perkauman; isu kalimah Allah; kini tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. 

Isu-isu yang disebutkan, memang merupakan isu-isu yang sensitif bagi sebuah negara berbilang kaum dan agama; di mana satu ketika Malaysia bangga dengannya. Di dunia, Malaysia adalah satu-satunya negara majemuk yang dapat menggunakan kepelbagaian itu sebagai kekuatannya; namun kerana nafsu segelintir rakyat; mempergunakan isu-isu untuk mengwujudkan ketidak stabilan, bukan sahaja dalam suasana berpolitik, juga mempengaruhi emosi rakyat.

Di Sabah, memang bibit-bibit perpecahan bermula sejak tahun 70-an, semasa kerajaan Usno; di mana berlaku apa yang dipanggil pengislaman secara besar-besaran; kemudian diikuti dengan kelulusan dewan undangan negeri sabah, untuk menerima islam sebagai agama rasmi; sesuai dengan agama persekutuan.

Isu pengislaman itu, menjadikan kerajaan Usno mendapat cabaran daripada pemimpin Sabah yang bukan beragama islam; walaupun punca utama kejatuhan Usno bukanlah atas sebab itu; akan tetapi tindakan berpaling tadah beberapa pemimpinnya yang diketuai Datuk Harris Salleh( kini Tan Sri) membentuk Parti Berjaya.

Selepas Usno tumbang pada tahun 1976 oleh Parti Berjaya; tahun 1985 pula giliran Parti Berjaya tumbang oleh Parti PBS; puncanya hampir serupa dengan kejatuhan Usno. Tahun 1994, giliran PBS pula tumbang, keadaan hampir serupa dengan kejatuhan Usno dan Berjaya; di mana berlaku tindakan berpaling tadah.

Kini, nampaknya bibit-bibit berpaling tandah itu sedang berlaku; khususnya berpunca daripada komponen Bn Sabah yang bertunjangkan kaum KDM. Tindakan Pergerakan pemuda PBS,PBRS dan Upko membentuk gabungan dengan mengenepikan saluran yang sedia ada Pergerakan Pemuda BN; menampakan bahawa bibit-bibit berpaling tadah itu sedang berlaku.

Sabah yang mempunyai 60 kerusi Dewan Undangan Negeri- terbahagi kepada 34 kawasan majoriti bumiputera islam; 18 kawasan bumiputera bukan islam dan 8 kawasan majoriti kaum cina. Pada PRU-13 lalu, nampaknya kawasan-kawasan bumiputera bukan islam dan kaum cina 11 kawasan dimenangi parti pembangkang, manakala satu kawasan bumiputera islam dimenangi mantan pemimpin umno Datuk Lajim Haji Ukin iaitu DUN Klias.

Isu utama penyebab kepada kekalahan calon-calon Bn bagi kawasan bumiputera bukan islam itu adalah isu-isu yang berkaitan dengan agama, berkaitan dengan borneoniasi serta isu royalti minyak. Kini isu itu bukan lagi menjadi isu pembangkang, malah diambilalih oleh komponen Bn yang bertunjangkan kaum KDM. Mungkin difikiran mereka, dengan mengambilalih isu itu, rakyat bagi kawasan-kawasan majoriti bumiputera bukan islam akan kembali kepada mereka. Bagi AYT, anggapan atau perkiraan mereka itu akan berdepan, seperti mendengar guruh di langit mencurahkan air di tempayan. Mereka melupakan asas kerjasama dalam Bn; mereka menidakan apa yang disepakti dalam gerak kerja Bn. Tindakan mereka, hanya memperluas jurang; menimbulkan kecurigaan antara satu sama lain; dan pada akhirnya melemahkan Bn sendiri.

Tindakan Pergerakan pemuda Umno, MIC dan MCA menentang gabungan antara PBS-PBRS-UPKO itu memang tepat melalui semangat BN; adalah lebih baik menyuarakan ketidak setujuan daripada berpura-pura; kerana sudah terzahir, bahawa pergerakaan pemuda tiga komponen Bn itu tidak lagi setia kepada perjuangan yang telah disepakti; ertinya mereka telah melanggar perjanjian persefahaman. Lumrah, dalam sesebuah perjanjian jika ada pihak yang mempertikai/melanggarnya, maka perjanjian itu dengan sendirinya terbatal.

Malayisia adalah negara demokrasi berparlimen; ertinya kerajaan yang dibentuk berasaskan kepada jumlah kerusi; apakah kerusi parlimen ataupun kerusi dewan undangan negeri. Berasaskan kepada kedudukan kerusi Sabah kini, jika ahli-ahli dan penyokong Umno bersatu, maka akan senantiasa dapat membentuk kerajaan negeri; selain dapat menyumbang kerusi kepada kerajaan pusat.

Jika digunapakai hukum imbang, sepertimana berlaku pada PRU-1990; dimana pada masa sebelum PRU itu, mengikut keadaan APU dan S46-DAP sungguh kuat di Semenanjung; namun ditakdirkan PBS menyertainya diambang pembuangan undi, maka berlaku hukum imbang; di mana pengundi Semenanjung memberi sokongan padu kepada BN di Semenanjung. Demikian juga kini, disebabkan kaum KDM walaupun masih merupakan kompnen Bn, namun bertindak sebagai pembangkang; maka akan berlaku hukum imbang; di mana jika berlaku PRU, maka kerusi-kerusi Umno di Semenanjung akan bertambah, untuk mengimbangi kerusi-kerusi yang hilang di Sabah. 

Permainan sentimen yang dimainkan oleh kaum KDM, tidak akan mencapai matalamatnya, akan tetapi akan merugikan kaum itu sendiri; sepertimana yang berlaku pada Presiden Upko sendiri, ditolak semasa pilihanraya, walaupun mengambil pendekatan seperti suara pembangkang dalam barisan nasional.

Sunday, June 22, 2014

Esok: Apakah Kerajaan PR Selangor Jatuh?

Untuk menjadi seorang Menteri Besar yang tidak akan berdepan dengan undi tidak percaya, calon itu perlu mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau sekurang-kurangnya 29 wakil rakyat daripada 56 keseluruhannya.

Semua sedia maklum Pas berang dengan Anwar kerana tidak berbincang dengan mereka sebelum 'pelan strategik' Kajang Move yang Anwar dilakukan. Malah dari dulu lagi kita mendengar ada pemimpin Pas yang mengatakan calon mereka lebih layak menjadi menteri besar atas alasan mereka mempunyai kerusi yang lebih banyak daripada PKR.

Kalau Pas mahu menawarkan ahlinya untuk menjadi calon menteri besar, ADUN terpaksa mengadakan pengundian untuk menentukan sokongan kepada calon menteri besar daripada Pas. Kalau ini terjadi maka satu senario yang menarik akan berlaku.

Bayangkan jika semua 12 wakil rakyat BN tidak mengundi calon menteri besar dan ditambah dengan 15 ADUN Pas, maka jumlah ahli yang menentang pencalonan yang pro Anwar ialah 27 ahli.

Hanya kurang dua kerusi untuk menidakkan Menteri Besar pilihan Anwar. Dalam keadaan ini Tan Sri Khalid Ibrahim tidak mengundi menyokong penggantinya yang ditentukan Anwar, maka kedudukan akan menjadi seri 28-28. Kalau ada lagi seorang ADUN daripada pakatan pembangkang yang tidak sebulu dengan Anwar dan tidak mahu pilihan Anwar menjadi menteri besar dan tidak menyokong, maka impian Anwar untuk mengganti Menteri Besar Selangor dengan pilihannya akan berkecai.

Persoalannya apakah akan ada ADUN daripada PKR dan DAP yang berani membuat perubahan? Ingat, politik Selangor tidak pernah sunyi daripada kontroversi! 

Saturday, June 21, 2014

Mengapa Pertikai Malaysia Negara Islam?

Sejak merdeka, islam sudah menjadi agama persekutuan. Lima puluh (50) tahun, Malaysia jadi tuan rumah musabaqah Al-Quran peringkat antarabangsa. Malaysia anggota negara-negara islam (OIC). Sekian lama tiada yang protes. Namun selepas sahaja PRU-12, di mana BN kehilangan 2/3 kerusi dewan rakyat, muncullah kaum lain mempersoal agama negara.

Mengapa protes timbul? sebabnya orang islam sendiri. Parti pas melutut mahu sokongan cina dan india; PKR melutut hendak sokongan cina dan india. Demikian juga Umno melutut hendak sokongan cina dan india.

Selepas PRU-12, penduduk majoriti terpaksa melutut dan seperti peminta sedekah; sebabnya, kerana perpecahan.

Orang melayu/islam sungguh baik hati. Semasa kemerdekaan tidakpun mempersoalkan, orang lain menjadi rakyat. Orang melayu/islam akur dengan keputusan Tunku Abdul Rahman Al-Haj semasa negara mahu merdeka; orang lain yang didatangkan oleh British, diberikan kerakyatan; sama taraf dengan peribumi. Namun, kebaikan dan keikhlasan melayu/islam dan bumiputera itu kini dipersoalkan oleh mereka, yang lahir selepas kemerdekaan. Mereka ini, tidak mahu lagi melihat asal usul dan sejarah negara. Punca, keberanian mereka ini, atas sebab oleh kaum melayu/islam sendiri. 

Lihat bagaimana berani dan lantang mereka, Menteri yang bertanggungjawab berkaitan agama islam dan orang melayu/islam sendiri; diperlekeh, malah mahu dihadapkan Majlis Salah laku dewan rakyat; nasib baik; ada Speaker yang mahir dalam undang-undang; selepas meneliti jawapan bertulis menteri itu- Dato Jamil Khir johari; speaker- Tan Sri Pandikar mendapati tiada prima facie terhadap menteri itu; malah Speaker memperkuat, bahawa negara ini adalah islamic state, bukannya secular state; kerana hanya undang-undang yang diamalkan berasaskan secular.

Persoalannya disini, bukan kerana negara ini islamic state atau secular state, akan tetapi, berlakunya perpecahan penduduk asal; sehingga memberi ruang kepada pendatang mempertikai kewibawaan dan status penduduk asal.

Penduduk asal bakal kehilangan kuasa, cepat atau lambat; kalau keadaan mementingkan diri tidak dikikis. orang asal bukan sahaja mabuk kuasa, akan tetapi sudah melupakan hukuwah ummah, sudah melupakan persahabatan, sudah melupakan sifat gotong royong; sudah melupakan apa itu aur dan tebing; sebaliknya penyakit seperti enau dalam belukar menjadi anutan dan pegangan.

Friday, June 20, 2014

Malaysia Bukan Negara Sekular- Tan Sri Pandikar

Dewan Rakyat semalam diberitahu bahawa negara ini bukan negara sekular, meskipun undang-undang yang digunapakai adalah undang-undang sekular.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, Mengambil contoh kes Che Omar bin Che Soh lawan Pendakwaraya (1988), beliau berkata Mahkamah Agung tidak pernah memutuskan atau mengisytihar negara ini sebagai negara sekular.

"Apabila saya rujuk kepada kamus Oxford mengenai maksud sekular, ia bermaksud 'sekular tidak berkaitan dengan perkara agama dan kerohanian'.

"Oleh itu, kedudukan Malaysia adalah berbeza dengan negara sekular seperti Amerika Syarikat, India atau Turki yang jelas memperuntukkan elemen sekular di dalam Perlembagaan mereka," katanya.

Berdasarkan fakta-fakta itu, Pandikar berkata Malaysia bukan negara sekular kerana Islam termaktub sebagai agama rasmi Persekutuan, dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Pandikar memberi pandangan demkian pada Khamis ketika menolak usul untuk merujuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan kenyataan beliau bahawa Malaysia bukan negara sekular.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata permohonan usul yang dibentangkan oleh Oscar Ling (DAP-Sibu) tidak memenuhi syarat-syarat kerana beliau tidak mendapati prima facie terhadap kenyataan Jamil Khir.

Beliau berkata seseorang menteri yang ingin dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen perlu mematuhi tiga kriteria seperti termaktub mengikut Peraturan Mesyuarat 36 (12), iaitu kenyataan dibuat adalah salah, tidak berusaha memperbetulkan kenyataan itu dan mempunyai niat tidak baik.

"Apabila saya meneliti fakta di hadapan saya, saya mendapati tiada kes prima facie. Ini adalah pandangan saya dan mendapati beliau tidak berniat untuk mengelirukan Dewan. Jadi tiada sebab untuk merujuk beliau kepada jawatankuasa," jelas Pandikar.

Monday, June 16, 2014

Esszone/Esscom Boleh Mufliskan Negara

Esszone/Esscom sejak ditubuhkan April tahun lalu, telah membelanjakan ratusan juta. Penubuhan barisan depan pertahanan negara itu khususnya di Pantai Timur Sabah ekoran pencerobohan Kiram di kampung Tanduo Lahad Datu pada awal Februari 2013.

Memang pasukan keselamtan negara berjaya menyelesaikan pencerobohan itu, dengan melibatkan berbagai aset dan berbatilion angkatan bersenjata negara; sudah tentunya dengan kos yang cukup besar. 

Untuk mencegah agar pencerobohan tersebut tidak berulang, maka ditubuhkan Esszone/Esscom yang dilengkapi berbagai persarana dan aset-aset ketenteraan yang diperlukan bersama-sama dengan jumlah pasukan keselamatan yang berribu jumlahnya.

Operasi seperti ini, bukan sahaja melibatkan masa dan perancangan, juga melibatkan kos yang tinggi, memandangkan panjangnya kawasan pantai yang meliputi 1,400km.

Meskipun, operasi, aset, pasukan tentera yang terlibat cukup ramai, namun usaha kecil-kecilan pihak penjenayah terutama kegiatan pencolekan masih berterusan. Kes penculikan terkini berlaku  semalam, di daerah Kunak Sabah; penculikan kali ke tiga sehingga jun ini. 

Disebabkan penculikan masih berlaku, biasanya pihak ketenteraan akan menambah aset atau anggota untuk mempergiat operasi; dan sudah tentunya memerlukan tambahan kos. Operasi seperti ini, akan terus berjalan, sehingga bila-bila masa, tanpa batas waktu; atas sebab, pihak penculik telah menjadikan tindakan penculikan sebagai bisnes baru yang menguntungkan. Atas sebab itu; menghapuskannya adalah sesuatu yang sukar dilakukan.

Soviet Union semasa menyerang Afghanistan telah muflis, kerana cara operasi yang sama; Sementara itu Amerika dan sekutunya yang kini berada di Afghanistan juga mengalami keadaan yang sama-muflis; kerana operasi ketenteraan gagal mengawal serangan Taliban. Inilah yang akan berlaku pada Esszone/Esscom; kerajaan akan terus mengeluarkan kos menjaga keselamatan, namun menghapuskan penculikan; terlalu samar untuk dielakkan.

Minggu lepas, Menteri pertahan Dato Hishamuddin Hussien baru sahaja menamatkan lawatan di pantai Timur, hanya selang seminggu, lawatan itu dibalas dengan tindakan penculikan.

Saturday, June 14, 2014

DAP Sabah Bergolak: Jimmy Wong Diminta Letak Jawatan

Jeffrey Kumin
DAP Sabah bergolak. Seorang anggota Majlis Tertinggi DAP Sabah Jeffrey Kumin yang juga bendahari DAP negeri dan mantan calon DAP pada PRU-13 lalu bagi P171 Sepanggar, mengulangi gesaan agar Pengerusi DAP Negeri Jimmy Wong yang juga MP Kota Kinabalu, perlu meletakkan jawatan.

Gesaaan beliau itu, berikutan berbagai masalah dalaman dalam parti semakin serius dan tenat sejak beliau memegang jawatan itu.

Juga menurut Kumin, selain gagal sebagai ahli parlimen; kerana tidak mampu menyampaikan masalah rakyat di Dewan Rakyat; juga telah gagal menepati janji kepada para penyokong parti.

Jimmy dalam pemilihan jawatan parti peringkat negeri pada Januari lalu, sebenarnya mendapat kedudukan keempat tercorot; memperlihatkan bahawa MP Kota Kinabalu itu tidak mendapat sokongan akar umbi DAP; namun beliau tetap menjadi Pengerusi Negeri.
Jimmy Wong

Jeffrey sebelum ini, telah mendesak agar Jimmy meletakkan jawatan ekoran keluarnya ADUN Luyang Dr Hiew King Cheu kerana angkara MP Kota Kinabalu itu.

Sementara itu, seorang Ketua Cawangan DAP bagi kawasan Lido Paul Len juga memberikan pandangan yang sama, agar Jimmy seharusnya berundur dengan segera; demi kebaikan dan masa depan parti.

Friday, June 13, 2014

Ramadhan Datang Lagi

Alhamdulillah, bulan Ramadhan kini tiba lagi. Satu bulan yang memang dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia. Bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Oleh itu kedatangannya memang ditunggu kerana bulan ini menjanjikan peluang yang besar untuk seluruh umat Islam meningkatkan keimanan dan ketakwaan.

Di dalam bulan Ramadhan, seluruh umat Islam diwajibkan berpuasa. Ini diterangkan dengan jelas dalam ayat 183, surah Al-Baqarah yang membawa maksud; "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Selain itu ayat 185, surah Al-Baqarah juga menyatakan dengan maksudnya bahawa ".( Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."

Akhir sekali dalam ayat 35, surah Al-Ahzaab pula, diterangkan bahawa ". orang-orang lelaki yang berpuasa serta orang-orang perempuan yang berpuasa dan orang-orang lelaki yang memelihara kehormatannya serta orang-orang perempuan yang memelihara kehormatannya dan orang-orang lelaki yang menyebut nama Allah banyak-banyak serta orang-orang perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar"

Dari tiga ayat yang dibentangkan di atas terbuktilah bahawa berpuasa di bulan Ramadhan merupakan satu peluang keemasan untuk setiap umat Islam meningkatkan ketakwaan diri, menambahkan kesyukuran atas nikmat yang diberikan dan berpeluang untuk mendapat keampunan dari segala dosa yang telah dilakukan.

Kelebihan-kelebihan yang disebutkan di atas tidak terhad di situ sahaja. Puasa di bulan Ramadhan juga merupakan satu proses yang memberi manfaat kepada kesihatan tubuh badan. Misalnya, dalam bulan ini, kita berpeluang untuk merehatkan organ penghadaman yang telah bekerja keras sepanjang tahun. Bukan sahaja merehatkan, kita juga memberi peluang kepada organ tersebut membersihkan 'dirinya' dengan syarat kita mengamalkan pemakanan yang betul sepanjang bulan puasa ini.

Selain itu, berpuasa juga akan memberikan peluang kepada tubuh badan untuk membuang lebihan toksin yang terkumpul di dalam badan. Pada peringkat awal berpuasa, kita sedari bahawa mulut akan berbau, peluh berbau, kulit kering bersisik, gatal-gatal pada kulit, air kencing pekat dan berbau, lidah kelat dan sebagainya. Ini semua merupakan petanda bahawa tubuh sedang membersihkan toksin dalam badan.

Selain tubuh badan, berpuasa juga boleh meningkatkan kekuatan fizikal dan mental umat Islam. Selalunya pada bulan inilah kita merasakan bahawa kekuatan dalam diri kita diuji dengan pelbagai bentuk ujian. Bagi mereka yang bekerja dengan menggunakan kekuatan fizikal, bulan Ramadhan pasti menguji ketahanan diri. Bagi mereka yang mudah lemah semangat, kelebihan bulan Ramadhan ini perlulah digunakan untuk membina kekuatan diri. Pendek kata, bulan Ramadhan memang memberi peluang yang luas untuk setiap umat Islam membina ketahanan diri.

Kelebihan bulan Ramadhan dan amalan berpuasa tidak terhad kepada seseorang individu sahaja. Apa yang lebih penting adalah tanggungjawab berpuasa ini memberikan kelebihan untuk kita mengeratkan hubungan sesama manusia. Dalam bulan ini, kita tentu sahaja menginsafi nasib golongan yang sedang mengalami kesusahan, kemiskinan, kebuluran dan penindasan sama ada di negara sendiri mahupun di seluruh dunia. Pastinya kita lebih memahami kesempitan yang dihadapi oleh orang lain dan sedia membantu bila diperlukan.

Bukan itu sahaja, pada bulan ini juga kita selalu memastikan bahawa setiap ahli keluarga berkumpul untuk sama-sama berbuka puasa. Kita juga kadang-kala menziarahi saudara mara dan jiran tetangga atau menjemput mereka berbuka puasa bersama-sama. Kesempatan sebegini mungkin sangat jarang diperolehi. Oleh itu, peluang yang dianugerahkan ini perlu dimanipulasi sebaik mungkin demi mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.

Jelaslah bahawa bulan Ramadhan dan amalan berpuasa memang mempunyai keistimewaan yang tinggi. Oleh itu, setiap umat Islam tidak boleh melepaskan peluang yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. ini. Setiap dari kita perlu mempersiapkan diri untuk menghadapi bulan Ramadhan agar faedah bulan tersebut dapat digarap sebanyak mungkin.

Terdapat banyak persiapan yang boleh dibuat. Pertamanya, membetulkan niat dan azam sebelum memasuki bulan Ramadhan. Niat dan azam perlulah semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Berazamlah untuk menjadikan bulan Ramadhan kali ini satu bulan yang terbaik untuk diri kita. Misalnya, kita boleh berazam untuk menjalani ibadah puasa yang tinggi kualitinya. Jadi, tekadkan dalam diri untuk merebut semua peluang kebaikan yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan ini.

Di samping itu, ambillah peluang untuk meningkatkan potensi diri dalam bulan yang penuh cabaran ini. Segala kekangan yang biasa mengongkong diri perlu diatasi dan usaha ini perlu diteruskan walaupun bulan Ramadhan telah berlalu. Sebagai contoh, sifat malas, leka dan lemah mesti cuba diatasi. Apabila proses ini dilakukan secara berterusan, maka potensi diri seseorang individu dapat dipertingkatkan.

Selain dari memperbaiki keimanan dan kualiti diri, bulan Ramadhan yang mulia ini juga boleh menjadi satu platfom untuk kita mengeratkan hubungan sesama insan. Dalam konteks ini, hubungan kekeluaragaan dan kejiranan menjadi fokus utama. Sematkan dalam hati untuk lebih kerap berbuka puasa dan beribadat bersama keluarga dan jiran tetangga. Jika ini berjaya dilakukan maka hubungan sesama ahli keluarga dan insan yang lain akan menjadi semakin rapat dan harmoni.

Dari segi kesihatan juga, seseorang itu perlu membuat persiapan tertentu. Ada juga sesetengah individu yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak memungkinkan dia berpuasa. Selain itu, ada juga sesetengah orang yang bergantung kepada ubat tertentu untuk merawat penyakit. Oleh itu berpuasa mungkin akan mengganggu waktu pengambilan ubat dan sebagainya. Golongan sebegini perlu mendapatkan nasihat dari doktor masing-masing dan mungkin beberapa pengubahsuaian boleh dilakukan. Walaubagaimana pun, janganlah terus meninggalkan ibadat berpuasa kerana ini amat merugikan.

Selain kesihatan, faktor kewangan juga perlu diambil kira. Persediaan dari segi kewangan juga perlu dilakukan. Pada bulan Ramadhan ini, kita lebih kerap makan di rumah dan menyediakan pula pelbagai juadah berbuka puasa. Oleh itu, perbelanjaan untuk perkara ini juga perlu diteliti dan dikawal agar tidak melampaui batas. Segala bentuk pembaziran perlulah dielakkan agar keberkatan bulan Ramadhan tidak disia-siakan.

Kita jarang membuat persediaan untuk menghadapi bulan Ramadhan dan amalan berpuasa. Malahan ada pula sesetengah orang yang menganggap bulan Ramadhan dan amalan berpuasa amat menyusahkan. Bagi golongan ini, kedatangan bulan Ramadhan diibaratkan sebagai beban yang menggalas bahu.

Kontranya, tren masyarakat kini menunjukkan bahawa persediaan yang besar-besaran dilakukan untuk menyambut Syawal atau Hari Raya Aidilfitri. Pada masa inilah kita lihat pelbagai tawaran istimewa diadakan di pusat-pusat membeli-belah. Orang-ramai pula berpusu-pusu membeli hingga kadang-kala timbul pula pembaziran.

Bukanlah salah membuat persiapan Syawal tetapi jika persiapan menyambut Syawal dilakukan dengan meriah sekali, persiapan menyambut Ramadhan juga perlu lebih meriah kerana bulan ini adalah satu bulan yang penuh keberkatan.

Sayangnya, pada masa kini tren sambutan Ramadhan juga telah telah disalah-ertikan. Pada masa ini, akhbar-akhbar tempatan sibuk mengiklankan pakej-pakej berbuka puasa dihotel-hotel atau restoran mewah. Namun begitu, bukan ini persediaan yang kita mahukan.

Persediaan utama adalah untuk melengkapkan diri dengan kekuatan rohani dan jasmani serta ilmu bagi merebut segala faedah yang ditawarkan dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Matlamatnya adalah untuk menjadi insan yang lebih baik di sisi Allah s.w.t., meningkatkan kualiti iman dan ibadat dan mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kejiranan.

Pun begitu, tidaklah dikatakan bahawa berbuka puasa diluar itu salah cuma perlu berhati-hati agar tidak membazir. Di samping itu, aspek beribadat jangan ditinggalkan. Dalam masa yang sama, persediaan menyambut Syawal juga tidak salah. Umat Islam digalakkan membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri kerana ini merupakan antara perayaan yang penting dalam kalender Islam. Namun begitu, sekali lagi, pilihlah satu persediaan yang sederhana dan tidak membebankan diri sendiri.

Umat Islam sangat beruntung kerana diberikan peluang untuk menjalani ibadat puasa di bulan Ramadhan dan keistimewaan ini janganlah disia-siakan. Buatlah persediaan yang sewajarnya untuk menyambut bulan mulia ini. Moga-moga diakhir bulan Ramadhan nanti, kita akan menjadi seorang Muslim yang lebih baik dari semua segi berbanding sebelumnya.

Kabinet Persekutuan: Tiada Rombakan-Hanya Penambahan

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menambah beberapa anggota parlimen dari MCA dan Gerakan dalam rombakan kabinet yang bakal berlaku bila-bila masa bermula hari ini.

Seorang Menteri Kabinet, memberitahu AYT bahawa penambahan menteri akan berlaku di Jabatan Perdana Menteri, dan mengisi Menteri Pengakutan yang sedang disandang Dato Hishamuddin Hussien.

Presiden Gerakan Dato Mah Siew Keong yang menang pada PRK Teluk Intan bakal dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri; manakala Presiden MCA Dato LiowTong Lai bakal mengisi Kementerian Pengangkutan.

Timbalan Menteri Kewangan dijangka diisi Timbalan Presidne MCA Dato Wee Ka Siong; sementara Timbalan Menteri Pelancongan dijangka diisi salah seorang MP daripada MCA.

Tuesday, June 10, 2014

Apakah Dyana Akan Menyertai Umno ?

Ada desas desus Dyana Sofya Mohd Daud calon DAP bagi PRK Teluk Intan yang kalah kepada calon BN Datuk Mah Siew Keong akan menyertai Umno dan bakal dilantik untuk menyandang jawatan khas kepada seorang Menteri Kabinet.   

Siapa Yang Jerut Rakyat?


Monday, June 09, 2014

Anwar Ditempelak Di Dewan Rakyat Hari Ini

Persidangan Dewan Rakyat hari memperlihatkan bagaimana Anwar Ibrahim ahli parlimen Permatang Pauh ditempelak oleh penyokong Kerajaan terutama daripada MP Tanjong Karang- Dato Noh Omar. 

Anwar dalam persidangan hari ini mempersoalkan mengapa penceroboh DUN Pulau Pinang baru-baru ini yang dikatakan daripada pemuda Umno tidak mendapat Tindakan daripada pihak berwajib terutama pihak polis. 

Noh Omar semasa menempelak Anwar mengatakan bahawa wakil rakyat pembangkang memang mempunyai agenda dan sengaja melakukan provokasi untuk menjemput pemuda Umno khususnya untuk bertindak, tujuannya agar pemuda Umno kelihatan arogan.   

Kenyataan ADUN DAP RSN Nayer dengan sengaja mengundang kemarahan pemuda Umno dengan menyatakan bahawa Umno CELAKA. Malah, ADUN DAP itu enggan meminta maaf berkaitan dengan kenyataan itu.



Sunday, June 08, 2014

Guru-Guru Dibenar Berpolitik-Tiada Jaminan Sokong BN: Tun Dr Mahathir

Guru yang dibenarkan berpolitik hanya akan menyusahkan kerajaan kerana ramai dalam kalangan mereka cenderung menyokong parti pembangkang seperti Pas berbanding Barisan Nasional (BN).

Itulah hakikat yang perlu diketahui pemimpin BN yang mahu penjawat awam profesional seperti guru menyertai politik dengan menyokong kerajaan sedia ada.

“Golongan guru tidak akan menyertai BN apatah lagi hendak menyokong parti kerajaan ini. Mereka ini sebaliknya akan menyokong Pas dan menentang kerajaan BN.

“Sukar kita hendak beri jaminan golongan guru akan memberi sokongan kepada BN jika mereka diberi kelonggaran menceburi bidang politik,” kata Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian mengulas cadangan Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mencadangkan semua warga pendidik kembali kepada BN jika dibenarkan berpolitik.

Keputusan kerajaan sebelum ini pula menyekat guru daripada menyertai politik.

“Jika cadangan itu tidak diperhalusi, kesan buruk pasti akan menimpa negara satu hari nanti kerana dikhuatiri golongan guru ini akan mengancam kerajaan dengan menyokong pembangkang.

“Kalaau nak buat sesuatu untuk tarik golongan guru dan professional lain, fikirlah semasak-masakya sebabnya mereka ni semua orang berpelajaran,” ujar Mahathir lagi

Apa Kah Krisis Antara DAP dan Pas Berlarutan?

Bagi Barisan Nasional; sudah tentu seronok melihat bahawa krisis antara DAP dan PAS akan berlarutan dan mengharapkan permisahan antara dua parti itu, seperti mana berlaku pada BARISAN ALTERNATIF sedikit masa lalu.

Perpisahan antara DAP dan PAS sudah tentu menguntungkan BN di Semenanjung, meskipun ianya bukan faktor yang boleh mempengaruhi Sabah dan Sarawak.

Krisis antara PAS dan DAP memuncak, selepas sahaja kekalahan DAP di PRK Teluk Intan. Sebagaimana kita maklum, DAP mempertahankan kawasan itu bersandarkan kepada kelebihan undi yang begitu besar pada PRU-13 lalu, iaitu 7,313 undi mengalahkan calon BN Datuk Mah Siew Keong.

Sekali lagi Mah Siew Keong bertanding pada PRK 31 Mei lalu, namun berdepan dengan calon muda DAP Dyana Sofya Mohd Daud.

Semua kita tahu keputusannnya, Mah menang dengan majoriti tipis-238 undi apabila beliau mendapat 20,157 berbanding Dyana 19,919. Sebenarnya undi Mah itu hanya bertambah 87 undi berbanding undi yang diperolehinya semasa tewas pada PRU-13 mei 2013 lalu.

Kemenangan Mah itu, belum menggambarkan sokongan penuh pengundi Teluk Intan, memandangkan lebih 8,000 pengundi kawasan itu tidak turun mengundi. Namun, keadaan itu cukup memberi alasan kepada DAP mempersalahkan PAS, kerana PASlah pengundi "cina" yang tergolong dalam 8,000 itu tidak turun mengundi, alasan yang diberikan DAP adalah PROTES.

DAP melihat kekalahan calon parti itu Dyana, adalah SATU KEMENANGAN DALAM KEKALAHAN, kerana akibat tindakan PAS yang terus meniupkan undang-undang Hudud; meskipun awal-awal lagi PAS telah menangguhkan pembentangan undang-undang itu, kerana mengikut desakan DAP.

DAP mendakwa, kerana pejuangan Pas itulah, 8,000 pengundi DAP tidak turun mengundi. Namun, DAP lupa, sebenarnya calon DAP mendapat tambahan 3 peratus undi melayu pada PRK itu. Yang menyebabkan kekalahan DAP adalah penurunan undi cina dan india masing-masing 15 peratus dan 10 peratus kepada parti itu.

PAS kini melihat, bahawa parti itu menjadi kambing hitam kepada kekalahan DAP; akibatnya ada sebahagian pemimpin PAS mengeluarkan kenyataan, bahawa DAP tidak lagi memerlukan pertolongan/sokongan PAS. Apa kah keadaan ini akan merebak, sehingga reka menunggu pecah antara DAP dan PAS akan berkesudahan sepertimana Barisan Alternatif? Sama-sama Kita Tunggu Kesuadahannya.

Saturday, June 07, 2014

MH370: Tiga Bulan Tanpa Khabar

Esok, genaplah tiga bulan kehilangan pesawat penerbangan Malaysia (MAS) B777-200ER MH370 bersama 227 penumpang dengan 12 krew; termasuk Juruterbang berpengalaman- Kapten Zaharie Ahmad Shah.

8 Mac 2014 jam 12.41 pagi waktu Malaysia daripada KLIA berlepaslah MH370 menuju Beijing dan di jadual mendarat pada pukul 6.30 pagi hari yang sama; namun hingga kini menjadi cerita misteri; kerana pesawat itu tidak pernah sampai di destinasinya.

24 Mac merupakan hari yang menyedihkan, selepas Perdana Menteri mengumumkan bahawa MH370 tidak mendarat di Beijing sebaliknya berakhir di Lautan Hindi.

Berasaskan keputusan itu, berbagai negara yang diketuai Australia menggunakan berbagai teknologi tercanggih yang ada pada abad ini, digunakan untuk mengesan di mana pesawat itu terjunam; selain mengetahui lokasinya, juga yang amat penting menemukan serpihan bangkai pesawat, termasuk penumpang; namun dunia telah tahu, bahawa sehingga kini, tiada apa-apa maklumat berkaitan pesawat itu, selain bacaan satelitte, yang cuba dirungkai, dan mengwujudkan teori/perkiraan bahawa pesawat itu berakhir di Lautan Hindi, atas sebab kehabisan minyak.

Kesaksian pasangan warga British, Catherine Tee bahawa dia melihat sebuah pesawat terbakar di pagi 8 Mac semasa dia dan suaminya berlayar daripada India ke Phuket Thailand, boleh disangksikan, atas sebab, jika pesawat itu mengalami kebakaran sepertimana didakwa, sudah pasti enjin pesawat itu tidak mampu menghantar "ping" atau isyarat sehingga 8.11 pagi, lebih kurang 7 jam selepas berlepas.

Yang jelas, apapun anggapan atau kesaksian berkaitan pesawat malang itu, yang pasti sehingga kini, tiada kepastian, apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat itu.

Friday, June 06, 2014

Hudud: Kenyataan Gobind- PAS Kena Terima

Seharusnya PAS kena terima kenyataan Gobind Singh Deo yang menyalahkan parti itu kerana kekalahan Dyana Sofya Daud-calon DAP bagi PRK Teluk Intan.

PAS sebenarnya sudah lama tahu, bahawa DAP menentang hudud; namun PAS tetap sahaja mahu berpakat dengan parti sosialis itu semata-mata untuk menjatuhkan kerajaan BN yang diterajui oleh Umno. 

Kerjasama PAS dan DAP semata-mata untuk mendapatkan kuasa; walaupun umum mengetahui bahawa mereka tidak akan sehaluan; kerana asas perjuangannya ibarat langit dan bumi.

Kini PAS terasa, meskipun jajaran kepimpinan PAS bertungkus lumus semasa PRK Teluk Intan; namun bukan sahaja tidak dihargai malah dipersalahkan.

Ada sebahagian pemimpin PAS terutama Timbalan Presiden parti itu- Mat Sabu, tidak merasa terkilanpun, apabila ada pemimpin DAP mempersalahkan parti itu, akibat kekalahan Dyana; kerana Sabu sanggup membuang jauh-jauh perjuangan parti, kerana semata-mata mahu mendapat kuasa.

PAS kelihatannya tidak berdaya, apabila mendapat tekanan daripada DAP; sehingga sanggup menangguhkan rancangan parti itu membentangkan undang-undang hudud di dewan rakyat; ertinya Pas sanggup berkompromi dengan undang-undang Allah; semata-mata kerana mendapat tekanan daripada mereka yang menentang undang-undang Allah itu.

Kaum islam yang menyokong Pas, perlu mengambil iktibar ini, bahawa perjuangan pemimpin Pas kini, bukan lagi selari dengan asas penubuhan parti itu; melainkan nawaitunya sudah melencong jauh.

Apa kah dengan perkembangan ini, penyokong Pas masih lagi beranggapan, bahawa perjuangan parti itu semata-mata untuk meneggakkan hukum islam? 

Penyokong Pas kena bermuasabah diri, bahawa mereka hanya menjadi alat kepada DAP, bukan sahaja memperkuat parti itu, malah ianya menjadi alat untuk melemahkan kekuatan orang islam; agar ianya mudah diperkotak katikan.

Ulama Pas, macam tidak berfungsi lagi; memandangkan parti itu dikuasai oleh mereka yang mempunyai perjuangan yang mengenepikan perjuangan asal Pas- yang diketuai oleh Mat Sabu.

Wednesday, June 04, 2014

PRK Teluk Intan: BN Perlu Berterima Kasih Pada Dyana

Perlu diakui, bahawa segala sesuatu yang berlaku pada kehidupan manusia; merupakan ketentuan oleh Maha Pencipta. 

Pada PRK Teluk Intan, tiada siapa yang terfikir, bahawa DAP akan memilih Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon mewakili parti itu untuk bertanding, bagi kawasan yang dianggap sangat selamat bagi parti itu, apabila melihat penguasaaan parti itu pada PRU 12 dan PRU 13.

Ketentuan Maha Pencipta, telah menggerakkan hati Lim Kit Siang untuk meletakkan Dyana setiausaha politik beliau sebagai calon bagi kawasan selamat itu; walaupun Dyana hanya setahun jagung menyertai parti berideologi sosialis itu.

Kerana ketentuan Maha Pencipta, sebaik sahaja Dyana dipilih sebagai calon, beliau membuat pendirian, bahawa jika beliau menang sebagai wakil rakyat, maka beliau akan menentang undang-undang Hudud di negara ini, sesuai dengan pendirian parti yang diwakilinya. Juga, beliau akan berjuang untuk terus menghapuskan keistimewaan UiTM yang hanya menerima pelajar bumiputera/melayu sesuai dengan kewujudannya berdekad lalu.

Walaupun pendirian tegas itu, namun tidak berjaya menggamit sokongan pengundi; malah penyebab kepada merosotnya jumlah undi daripada kaum cina, penyokong kuat DAP pada dua PRU lalu.

Berasas kepada jumlah undi yang diperolehi Dyana; nampaknya latar belakang dan pendiriannya merupakan pemangkin kepada penolakan kepada beliau; yang menyebabkan kemenangan kepada calon BN.

Juga, pencalonan Dyana, pengundi Teluk Intan terutama kaum cina dan india, belum bersedia bahawa kawasan itu diwakili kaum melayu; fakta ini terlihat bahawa undi yang diperolehi calon BN Datuk Mah Siew Keong daripada kaum cina dan india masing-masing meningkat 15% dan 10% berbanding sokongan kaum itu pada beliau pada PRU-13 lalu.

Walaupun, pencalonan Dyana mampu menarik tambahan 3% undi melayu kepada DAP berbanding undi daripada kaum itu pada PRU-13 lalu, namun ianya tidak mencukupi untuk beliau menang. Tambahan undi melayu itu, hanya semata-mata kerana tindakan PAS yang berkempen secara aggresif di kawasan itu.

Juga, kemenangan Mah, telah menyingkap niat DAP yang berpura-pura dan cuba menggambarkan bahawa DAP sebagai parti berbilang kaum di mana sejak penubuhannya lebih dilihat sebagai parti perkauman yang sangat tebal, walaupun penubuhannya berasaskan pelembagaannya parti itu adalah parti berbilang kaum.

Kekalahan Dyana, merupakan isyarat pengundi cina, kepada DAP agar jangan cuba melencongkan parti itu kepada parti berbilang kaum. 

Uji kaji Lim Kit Siang dan anaknya Lim Guan Eng mempergunakan Dyana Sofya Daud tenyata memberi peluang kepada Mah Siew Keong sekurang-kurangnya dalam tempoh 4 tahun mewakili kawasan itu. Kemenangan itu, tidak boleh dijadikan pengukur, bahawa kaum cina telah kembali kepada BN, kerana senarionya sungguh berbeza, jika DAP mencalonkan daripada kaum cina atau india.

Kekalahan Dyana, disebabkan berbagai faktor-antaranya protes daripada penyokong cina dan penyokong DAP yang mengenepikan calon-calon yang dianggap kanan dan setia, berbanding Dyana yang relatif baru dan belum teruji kesetiaannya. 

Walaupun Dyana cuba menonjolkan bahawa beliau benar-benar mengenepikan latarbelakang fahaman keluarganya terutama ibunya sendiri, namun, ramai pengundi cina dan india meraguinya; setidak-tidaknya anggapan itulah yang mendorong mereka mengundi Mah, yang dilihat lebih ikhlas dalam perjuangannya. Sebaliknya, jika calon kaum cina daripada DAP yang terbukti perjuangannya dalam parti itu, keputusannya akan berlainan. Pada PRU-14, trend pengundian Teluk Intan, tidak semestinya berterusan. 

Masa 4 tahun, perlu dipergunakan oleh BN amnya, dan Datuk Mah Siew Keong khasnya untuk mengekalkan kawasan itu agar terus diwakili BN. Penetarsi kepada pengundi luar yang tidak membuang undi semasa PRK itu perlu dicari pendekatannya, sekurang-kurangnya BN mampu mendapat separuh daripadanya.

Hakekatnya, suka atau tidak, di terima atau tidak, kemenangan BN sebenarnya disebabkan oleh pencalonan Dyana.

Sunday, June 01, 2014

PRK Teluk Intan: Faktor Penyebab Kemenangan BN

Pengundi melayu sedar, bahawa DAP mempergunakan kaum itu untuk menghapuskan hak mereka. Pengundi melayu juga sedar, bahawa PAS diperkudakan oleh DAP untuk melemah dan menghancurkan melayu. Pengundi melayu juga sedar, DAP mempergunakan melayu untuk menghancurkan melayu.

Bagi pengundi cina pula, mereka melihat bahawa BN mempunyai keiklasan, sepertimana dipamerkan gabungan beberapa parti itu sejak merdeka lagi. BN mengamalkan perkongsian kuasa, dan cara itu terus berkuatkuasa hingga kini. BN berjuang untuk semua kaum, dan mengerti bahawa hubungan antara kaum perlu ada tolak ansur, ertinya setiap kaum tidak boleh membolot semuanya, demikian juga tiada kaum yang dipinggirkan.

Kaum india juga, sedar, bahawa BN akan meneruskan cara mengurus negara yang berasaskan perkongsian kuasa.

Pengundi luar yang menjadi kekuatan DAP atau Pakatan Rakyat tidak pulang mengundi, merupakan salah satu penyebab kemenangan BN.

Melihat undi yang diperolehi calon BN pada PRK kali ini, jumlahnya adalah konsisten dengan jumlah undi yang diperolehi pada PRU-12 dan PRU-13; sementara undi calon DAP menurun sekali daripada lebih 27,000 pada PRU-13 lalu kepada hanya 19,919. SPR mengakui sejumlah 8,000 pengundi luar tidak turun mengundi.

BN perlu mengambil iktibar daripada PRK Teluk Intan ini, terutama yang berkaitan dengan pengundi luar. Pengundi luar sebenarnya sejak PRU-12 merupakan pengundi yang menyebelahi pembangkang dan trend ini akan berterusan pada PRU-14. Untuk itu, pada PRU-14, BN perlu mengelak mengatur kepulangan pengundi luar, kecuali mereka yang benar-benar merupakan penyokong.

DAP Kalah- Sebab Pilih Calon Melayu: Guan Eng

Lim Guan Eng membuat kesimpulan; bahawa kegagalan DAP mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan disebabkan meletakan calon melayu.

Pengundi cina penyokong DAP belum bersedia menerima calon bukan cina, antara penyebab kekalahan DAP.

Selain faktor calon, DAP juga mengakui bahawa penyumbang kekalahan disebabkan kurangnya pengundi luar kawasan turun mengundi. 

DAP atau PKR dan PAS sangat tergantung kepada pengundi luar kawasan. Sebenarnya pengundi luar kawasan adalah penyumbang kepada kemenangan parti-parti pembangkang pada PRU-12 dan PRU-13.

BN telah mengambil iktibar itu, atas sebab itu, pada PRK Teluk Intan, tidak mengatur kepulangan pengundi-pengundi luar kawasan. Benar juga, strategi itu berbaloi; dan berjaya merampas kerusi Teluk Intan yang terlepas sejak tahun 2008.

Kalau melihat undi yang diperolehi calon BN, sebenarnya konsisten dengan jumlah penyokong parti itu, dari PRU ke PRU. Penurunan undi calon DAP, yang hanya mampu mendapat 19,919 pada PRK kali ini, menunjukan bahawa pengundi luar berjumlah 8,000 pengundi merupakan penyokong pembangkang.

Blog Archive