Wednesday, August 30, 2017

Undi Popular Vs Jumlah Kerusi

1. Sistem demokrasi negara ditentukan oleh jumlah kerusi parlimen ataupun dewan undangan negeri.

2. Jumlah kerusi ditentukan oleh persempadanan. Persempadan boleh bersandarkan keluasan ataupun jumlah penduduk.

3. Persempadanan parlimen atau dewan undangan negeri di negara ini, dapat dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kawasan bandar dan luar bandar.

4. Kawasan bandar ditandai dengan jumlah yang pengundi yang cukup ramai tetapi kawasan persempadanan yang sempit, manakala kawasan luar bandar, ditandai jumlah pengundi yang sedikit tetapi kawasan yang luas.

5. Berasaskan taburan undi, 60 peratus pengundi berdaftar di kawasan bandar, manakala bakinya di kawasan luar bandar.

6. Dua pilihan raya lalu, majoriti pengundi bandar memilih parti yang membangkang barisan nasional, manakala kawasan luar bandar memilih parti Barisan Nasional.

7. Walaupun pengundi bandar merupakan 60% daripada pengundi, namun daripada segi jumlah kerusi, hanya mewakili 45 peratus daripada jumlah kerusi parlimen. 

8. Pada PRU-14, jumlah pengundi yang bakal mengundi seramai 14.6juta. Bermakna, 8.76 juta daripada jumlah pengundi itu adalah pengundi bandar yang mewakili 100 kerusi parlimen, manakala baki pengundi seramai 5.84 juta adalah pengundi luar bandar dan mewakili 122 kerusi.

9. Berasaskan keputusan PRU-13, daripada 133 kerusi yang dimenangi Bn, 38 kerusi boleh dianggap sebagai kawasan bandar, manakala bakinya adalah kawasan luar bandar. Oleh kerana 62 kerusi kawasan parlimen bandar dimenangi pembangkang, sebab itulah, undi popular berpihak kepada mereka. 

10. Daripada 89 kerusi parlimen yang dimenangi pembangkang pada PRU-13, hanya 37 kawasan yang boleh dianggap sebagai kawasan luar bandar. Manakala Bn, kawasan luar bandar yang berpihak kepada Bn sebanyak 95 kawasan parlimen.

11. Pakatan Harapan khususnya strategi yang dilakukan oleh Tun Dr Mahathir, mahu mencapai kemenangan di kawasan luar bandar, dan mentargetkan sekurang-kurangnya 15 kawasan parlimen dan menambah 7 kawasan bandar, sambil menganggap bahawa kawasan yang dimenangi pada PRU-13 dapat dipertahankan. Di atas kertas Pakatan Harapan cukup yakin bahawa parti mereka akan mencapai jumlah yang dimaksudkan.

12. Apa yang dilupakan oleh Pakatan Harapan, bahawa pencapaian 89 kerusi pada PRU-13 lalu, kerana sumbangan penyokong parti Pas. Kini, di atas kertas, Pakatan Harapan memerkirakan, bahawa sumbangan parti Pas pada PRU-13 lalu dapat diambil alih oleh PPBM dan Amanah. PPBM memperikrakan 15% penyokong Umno berpihak pada mereka, manakala Amanah memerkirakan rasio yang sama, penyokong Pas akan berpihak pada serpihan parti Pas itu.

13. Pakatan Harapan, sudah mula menghitung anak ayam sebelum telur menetas, sebab itu, pada mesyuarat parti itu semalam, parti gabungan PKR-DAP-Amanah-PPBM itu telah menutup pintu kepada parti Pas. Parti itu telah bersedia bertembung tiga penjuru, BN-PAS-Pakatan Harapan pada PRU-14.

14. Pakatan Harapan, cukup yakin bahawa pengundi yang mengundi calon-calon Pakatan Rakyat pada PRU-13 lalu akan terus mengundi Pakatan yang baru.

15. Pakatan Harapan cukup yakin, gabungan itu akan mendapat swing undi daripada Bn dan Pas, khususnya di kawasan-kawasan target parti itu.

16. Negeri yang menjadi target utama Pakatan Harapan selain Kedah adalah Johor. Mengapa Kedah, sebabnya negeri Tun Dr Mahathir dan anaknya Dato Seri Mukhriz Mahathir. Sementara Johor adalah negeri Tan Sri Muhiyiddin Yassin.

17. Kalau bercakap berkaitan kawasan bandar, ada kemungkinan, Pakatan Harapan boleh mencapai target mereka, sebanyak 7 kerusi, namun di kawasan luar bandar, sasaran itu tidak mudah dicapai. Mengapa tidak mudah dicapai? sebabnya pengundi Bn, meskipun swing 15%, demikian juga pengundi Pas swing pada rasio yang sama kepada Pakatan Harapan, tidak akan dapat mengungguli undi yang bakal diperolehi Bn.

18. Pertembungan tiga penjuru, akan berpihak pada Bn, seperti mana berlaku pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Jika pertembungan tiga penjuru BN-PH-PAS bakal berlaku, kemungkinan besar 80 peratus kawasan yang dimenangi Pakatan Rakyat di kawasan luar bandar pada PRU-13 lalu, akan dimenangi parti Bn. Jika 80 peratus daripada 37 kerusi kawasan luar bandar yang bukan diwakili Bn berpihak kepada Bn, ertinya gabungan 13 parti itu akan menambah 29 kerusi bagi kawasan luar bandar. Jika Bn kehilangan 7 kerusi di kawasan bandar, maka jumlah kerusi tambahan bersih bagi Bn adalah 22. Maknanya, pada PRU-14, Bn akan dapat mengembalikan kuasa 2/3 di Dewan Rakyat.

No comments:

Blog Archive